Negeri

Himpunan RXZ Members 7.0 paling berjaya, rekod 150,000 penyertaan

KUALA NERUS: Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak mencatat penyertaan sekitar 150,000 peserta, sekali gus menjadi edisi paling besar dan berjaya setakat ini.

Pengarah program, Mohd Lukhman Hassan berkata, kejayaan ini menjadi bukti sokongan padu komuniti permotoran seluruh negara terhadap acara tersebut.

“Saya rasa penganjuran himpunan RXZ tahun 2025 kali ini paling berjaya. Saya menjangkakan kehadiran kira-kira 150,000 peserta menjadikannya penganjuran paling berjaya setakat ini.

KEMERIAHAN Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

“Selagi program ini mendapat sambutan daripada peminat motosikal di Terengganu kita akan teruskan program sama di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis perasmian program tersebut di sini pada Sabtu.

Acara yang menghimpunkan peminat motosikal RXZ dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Pengerusi AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun serta turut dihadiri Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Pada majlis itu, turut diadakan sesi cabutan bertuah melibatkan hadiah utama sebuah MPV Toyota Alphard, motosikal RXZ, pakej umrah, pakej pelancongan serta hadiah lumayan lain.

“Pihak penganjur mengambil tanggungjawab penuh dan bersedia memperbaiki kelemahan pada penganjuran seterusnya,”katanya.

SERAMAI 150,000 peserta hadir pada Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Beliau berkata, penganjur terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri bagi memastikan RXZ Members kekal sebagai acara tahunan yang memberi impak positif.

Mengulas peruntukan RM300,000 yang disalurkan kerajaan Madani, Mohd Lukhman menjelaskan ia sepenuhnya untuk manfaat peserta, bukan penganjur.

“Bentuk agihan masih diperhalusi kerana program kali ini berjalan dengan jadual padat,” ujarnya.

Berdasarkan rekod, Himpunan RXZ Member 6.0 yang berlangsung di lokasi sama pada 13 hingga 14 September tahun lalu mencatatkan seramai 80,000 peserta. – Sinar Harian

Related Posts