KUALA NERUS: Dua beradik perempuan dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Jeram Hulu, Manir, di sini, kira-kira jam 3 petang hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Limbong, Manir dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong.
Dalam kejadian itu, dua lagi kanak-kanak masing-masing berusia 12 tahun berjaya diselamatkan orang awam selepas dihanyutkan arus deras.
Saksi kejadian, Wan Mohamad Naqiuddin Wan Muda, 33, berkata dia bersama seorang lagi penduduk terus terjun ke sungai selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Katanya, ketika itu empat kanak-kanak terbabit sedang mandi sebelum seorang daripada mereka dipercayai lemas dan tiga lagi cuba membantu mangsa.
“Bila seorang lemas, tiga lagi cuba selamatkan. Lepas itu mereka semua hanyut sekali.
”Saya dan seorang lagi saksi yang nampak kejadian terus terjun dari atas tebing untuk bantu mangsa.
“Seorang mangsa sempat dicapai dan saya heret ke kawasan rimba buluh untuk berpaut kira-kira 10 meter dari lokasi dia tenggelam manakala seorang lagi dihanyutkan hampir 100 meter sebelum berjaya diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa bagaimanapun gagal ditemui dan dipercayai tenggelam akibat arus sungai yang deras.
Menurut Mohd Naqiuddin, kawasan berkenaan jarang orang mandi ketika air pasang sebab arus sangat laju,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada salah seorang mangsa yang terselamat, Abdul Fatah Md Ghani, 39, berkata anaknya, Noor Shakira, 12, mandi di sungai berkenaan kira-kira satu kilometer dari rumah mereka di Kampung Jeram Pasar, Manir, tanpa pengetahuannya.
Katanya, selepas pulang mengambilnya dari sekolah, dia berehat sebelum anaknya memaklumkan untuk keluar ke rumah rakan di kampung sama.
”Saya tidak sangka dia pergi ke sebagai dan mandi. Saya mulanya terkejut apabila diberitahu anak lemas, bagaimanapun bersyukur apabila dia dapat diselamatkan penduduk ,” katanya.
Abdul Fatah berkata, anak kedua daripada lima beradik itu kini dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Seorang lagi mangsa yang selamat, Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, 12, memaklumkan kejadian berlaku ketika mereka mandi berempat sebelum seorang daripada mereka iaitu Noor Shaqira dihanyutkan arus.
“Saya mandi empat orang dan seorang hanyut. Saya dan tiga lagi cuba selamatkan Shaqira sebelum hampir lemas dan diselamatkan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih diteruskan. – Metro
