Home NasionalNilai kekeluargaan pacu sambutan Festival STEM Terengganu

Nilai kekeluargaan pacu sambutan Festival STEM Terengganu

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Acara larian santai bertemakan ‘Glow in the Dark’ menjadi antara tarikan Festival Sains, Teknologi, Inovasi dan Matematik Terengganu (Festival STEMT) 2026 apabila berjaya menarik 1,538 peserta, sekali gus memberi kelainan kepada edisi kedua penganjuran festival pendidikan STEM itu.

Berlangsung selama tiga hari di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, festival berkenaan turut mendapat sambutan daripada keluarga yang hadir bersama anak-anak, sekali gus menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan masyarakat, khususnya dari kawasan luar bandar, dalam pendidikan STEM.

Bagi Nik Azuraida Nik Jusoh, 46, penyertaan dalam acara larian pada waktu malam itu memberikan pengalaman baharu kepada keluarganya selain menjadi ruang untuk mereka meluangkan masa bersama dalam suasana yang selamat dan santai.

Sebahagian peserta terdiri daripada ahli keluarga yang menyertai Luminite Walk yang berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Kuala Terengganu pada 28 Ogos 2026.

“Perasaan teruja itu sudah pasti, apatah lagi ini pengalaman baharu buat kami sekeluarga menyertai acara larian pada waktu malam. Seharusnya program seperti ini diteruskan pada edisi seterusnya.

banner

“Jarak larian dan medal bukan faktor utama kami datang ke sini, sebaliknya lebih kepada peluang untuk beraktiviti bersama keluarga dalam persekitaran yang selamat,” katanya.

Sementara itu, Tengku Aminuddin Tengku Sulong, yang bekerja di sektor swasta di ibu negara, mengambil kesempatan sempena cuti persekolahan untuk menyertai acara berkenaan bersama rakan-rakannya.

“Kebetulan saya pulang bercuti ke kampung dan mengetahui mengenai program ini, jadi saya mengambil peluang untuk hadir bersama rakan-rakan.

“Saya cukup teruja kerana tidak menyangka ada penganjuran seperti ini di kawasan yang jauh dari bandar,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim (duduk barisan hadapan empat dari kiri) bersama warga kerja yang menjayakan penganjuran Luminite Walk semperna Festival Sains, Teknologi, Inovasi dan Matematik Terengganu 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata sambutan menggalakkan terhadap acara larian berkenaan memberi impak positif kepada keseluruhan penganjuran Festival STEMT 2026.

“Walaupun acara larian ini hanya aktiviti sampingan berskala kecil dalam Festival STEMT 2026, maklum balas positif yang diterima, khususnya daripada ibu bapa dan penjaga yang hadir bersama anak-anak, amat menggalakkan.

“Kami tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan acara yang lebih baik pada edisi seterusnya kerana ia secara tidak langsung memberi nilai tambah dalam usaha merapatkan jurang pendidikan STEM dengan masyarakat,” katanya.

Festival STEMT 2026 yang berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos lalu merupakan karnival pendidikan yang memberi tumpuan kepada bidang STEM menerusi pelbagai aktiviti dan pengisian program, termasuk penglibatan pemain industri berkaitan. – Suara Timur

Tinggalkan komen