KUANTAN: Cadangan menaikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir bernilai RM1,000 untuk setiap isi rumah akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertimbangan untuk menaikkan kadar bantuan itu wajar kerana peningkatan kos sara hidup ketika ini.
“Bantuan untuk mangsa banjir sebelum ini hanya RM500 bagi setiap isi rumah dan dinaikkan kepada RM1,000 pada 2021.
“Saya juga bersetuju membentangkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet (akan datang) dan akan mengemukakan cadangan itu (menaikkan jumlah BWI),” katanya kepada media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan menyalurkan BWI kepada mangsa ditempatkan di PPS berdaftar di seluruh negara sebelum mereka dibenarkan pulang.
Menurutnya, untuk Monsun Timur Laut (MTL) kali ini kerajaan sudah menyalurkan 77 peratus BWI membabitkan 47,000 mangsa banjir di seluruh negara, manakala baki mangsa belum menerima BWI sedang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Ketua isi rumah menerima BWI pada banjir gelombang pertama hanya layak menuntut semula sumbangan itu selepas tempoh tiga bulan jika mereka terjejas oleh gelombang kedua atau ketiga banjir,” katanya. – Metro
