KUALA LUMPUR: Status cuaca panas di Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Baling, di Kedah terus berada pada Tahap Dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius pada kira-kira jam 6 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dalam kenyataan di laman sesawang rasmi, berkata sebanyak 12 kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pula berada pada Tahap Satu selepas merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
“Ini membabitkan kawasan Kedah iaitu Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu serta daerah sebelah utara di Pulau Pinang.
“Amaran sama dikeluarkan bagi Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak termasuk seluruh Perlis” katanya.
Justeru, METMalaysia menasihatkan penduduk di semua kawasan terbabit berjaga-jaga, minum air secukupnya dan mengurangkan aktiviti luar kerana keadaan kering.
Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian menerusi laman sesawang rasmi METMalaysia. – Berita Harian
