KUALA TERENGGANU: Bekas ketua Pemuda PAS Terengganu hari ini tampil menjelaskan mengapa dia mengambil keputusan untuk meninggalkan jawatan tersebut sebagai langkah menjernihkan suasana.
Menurut Muhamad Hamdi Harun dia membuat keputusan berundur dari jawatan nombor satu Pemuda PAS Terengganu tidak dipengaruhi oleh sesiapa.
Sebaliknya, kata Muhamad Hamdi, ia dibuat atas kehendak sendiri dan didorong oleh urusan peribadi serta keluarga.
“Peletakan jawatan saya adalah urusan peribadi yang melibatkan keluarga.
“Saya bimbang tidak dapat fokus kepada tugasan yang diamanahkan (jika terus memegang jawatan ketua pemuda).
“Peletakan jawatan ini adalah pilihan saya sendiri,” katanya kepada Malaysiakini pagi ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Muhamad Hamdi meletakkan jawatan ketua Pemuda PAS Terengganu yang disandangnya sejak tahun lalu.
Dia yang juga anak kepada bekas Ketua Ulama PAS Pusat, Harun Taib, memenangi jawatan ketua pemuda negeri itu tanpa bertanding dalam mesyuarat agung tahunan mereka.
Setiausaha Pemuda PAS Terengganu, Mohd Riduan Abu Bakar, turut mengumumkan barisan kepimpinan baru susulan peletakan jawatan berkenaan.
Menurutnya, mereka menerima peletakan jawatan Muhamad Hamdi dan melantik seorang pemangku bagi mengisi kekosongan jawatan itu bagi sehingga pemilihan baru dibuat pada tahun depan.
“Susulan kekosongan itu, mesyuarat bersetuju melantik Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli sebagai pemangku ketua pemuda bagi sesi 2026–2027,” katanya dalam kenyataan.
Susulan perkembangan itu sesetengah pihak turut membuat spekulasi termasuk kemungkinan Muhamad Hamdi turut meninggalkan PAS serta wujud pergeseran dalaman.
Dia bagaimana pun menafikan perkara itu.
“Tidak (keluar parti), (PAS) perjuangan almarhum ayah saya, perjuangan almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz (Nik Mat), dan perjuangan kawan rapat arwah ayah saya, Tok Guru Abdul Hadi,” kata Muhamad Hamdi. – MalaysiaKini
