Negara Politik

YDP Pas Tapah dipilih calon PN

TAPAH: Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek dipilih sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sempena Majlis Pengisytiharan Calon PN PRK N.48 Ayer Kuning di Dataran Awam Tapah Road di sini pada Selasa.

Selain memimpin Pas Kawasan Tapah, beliau merupakan Pengerusi PN Parlimen Tapah.

Beliau yang merupakan Pengetua Maahad Tahfiz ADDIN Air Kuning sejak tahun 2015 berpengalaman luas dalam dunia pendidikan, dakwah dan pembangunan insan dan beliau juga merupakan penggubal silibus kurikulum Yayasan ADDIN serta guru tauliah dan takmir Negeri Perak.

Pernah menuntut ilmu di Syria dan kemudiannya di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah (UniSHAMS), Kedah, beliau telah mengabdikan hidupnya dalam menyemai ilmu dan nilai Islam di sekolah, masjid dan pelbagai lapangan masyarakat.

Selain daripada menjadi motivator dan pensyarah jemputan, beliau juga aktif dalam pembangunan masyarakat sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Insan Bidor dan Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Air Kuning.

Dalam dunia politik, beliau bukan orang baru di mana pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda PAS Kawasan Tapah dan kini merupakan Yang Dipertua PAS Tapah serta Pengerusi Perikatan Nasional Parlimen Tapah sejak tahun 2023.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah pada 26 April ini dengan penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru. – Suara Timur

Related Posts