Negara

Budak 12 tahun, ibu saudara lemas di Pantai Penunjuk

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Kegembiraan sebuah keluarga yang berkelah di Pantai Penunjuk Kijal, di sini, bertukar tragedi apabila dua daripada ahli keluarga itu lemas ketika mandi di pantai itu, petang tadi.

Mangsa yang berusia 39 tahun, berasal dari Jitra, Kedah, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.42 petang di Hospital Kemaman, manakala anak saudaranya yang berusia 12 tahun, berasal dari Ampang, Selangor disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kijal, kira-kira pukul 5.23 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa mandi di pantai itu bersama lima lagi ahli keluarga mereka.

AHLI keluarga mangsa lemas sedang menunggu bedah siasat di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman, malam ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka mandi, tiba-tiba mereka telah ditarik ombak ke tempat yang lebih dalam menyebabkan lima daripada mereka hampir lemas.

“Bagaimanapun, mereka berjaya diselamatkan ahli keluarga dan orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Mohd. Rozi berkata, bagaimanapun dua daripada mereka telah disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam menerima rawatan.

“Kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang keluarga mangsa memberitahu Suara Timur, jenazah kedua-dua mangsa akan dibawa pulang dan dikebumikan di Jitra, Kedah. – Suara Timur

Related Posts