Negara

Suami orang bermadu kasih dengan janda dicekup di hotel

MUAR: Hasrat lelaki berstatus suami orang bermadu kasih dengan janda usia separuh abad terbantut selepas dicekup pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah hotel di bandar ini, awal pagi semalam.

Sebelum penahanan dibuat, lelaki yang juga bapa dua anak mendaftar sebuah hotel bertaraf empat bintang kerana menganggap ia selamat tanpa diganggu mana-mana pihak berkuasa.

Menurut JAINJ, ketika serbuan dilakukan pada jam 1 pagi, lelaki berusia 30-an didapati berdua-duaan dengan janda berusia 50-an dalam bilik hotel terbabit.

“Kedua-dua pasangan itu berasal dari daerah sama dan janda itu mempunyai tiga anak.

“Pemeriksaan dalam bilik hotel terbabit menemui sekotak tisu lembap yang mana sebahagian daripadanya sudah digunakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut JAINJ, pasangan itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

Sementara itu, penguat kuasa JAINJ turut menahan lelaki warga emas ketika sedang membeli nombor ekor di sebuah premis judi di Batu Pahat.

Lelaki berusia 71 tahun dicekup ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa di premis terbabit.

“Sebaik tiba di premis itu, terdapat dua lelaki dengan seorangnya (warga emas) sedang menulis nombor. Namun, menyedari kehadiran penguat kuasa, wanita yang juga penjual nombor ekor memberi isyarat warga emas itu tidak membelinya.

“Dia kemudian meninggalkan kertas ditulis dan cuba keluar. Bagaimanapun, lelaki ini ditangkap kerana berada dalam rumah judi,” katanya. – Berita Harian

Related Posts