RAUB: Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ditahan polis petang ini kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas semasa ‘Op Sekat’ di sini minggu lalu.
Perkara itu dimaklumkan melalui satu muat naik oleh pentadbir Facebook Yu Hui sebentar tadi, dengan turut ditahan seorang pengusaha kebun durian yang juga Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang.
“Ahli Parlimen Raub YB Chow Yu Hui dan Pengerusi SAMKA, Wilson Chang disahkan oleh peguam bahawa ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan: “Menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya”.
“Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan mengemaskinikan maklumat terkini melalui Facebook dan media secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu, wakil rakyat DAP itu hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bersama Chang kira-kira jam 4 petang dengan ditemani peguam masing-masing.
Difahamkan, kehadiran mereka berkaitan siasatan kejadian semasa pelaksanaan operasi khas yang bertujuan membanteras pencerobohan tanah membabitkan kumpulan pekebun durian ‘Musang King’ di daerah ini.
Semalam, pihak polis mengesahkan Yu Hui bersama empat individu lain akan dipanggil untuk memberi keterangan atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam ketika ‘Op Sekat 3.0’.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata sejumlah 22 laporan polis diterima pihaknya sehingga kini berhubung operasi penguatkuasaan yang menyasarkan pekebun durian haram itu. – Harian Metro