Negara Politik

Di atas kertas BN ada kelebihan

SHAH ALAM: Kerjasama antara BN dan PH di Perak dalam mendepani PRK DUN Ayer Kuning memberi kelebihan dari segi strategi dan jentera.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berpandangan, gabungan BN-PH mempunyai sokongan undi akar umbi yang kuat, sekali gus sukar ditandingi PN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Walaupun secara matematik, gabungan undi BN dan PH dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) menunjukkan kelebihan jelas berbanding parti lawan, beberapa faktor lain perlu dipertimbang antaranya peningkatan sokongan terhadap PN.

“Peningkatan undi PN daripada sekitar 2,000 pada 2018 kepada 6,812 pada 2022 menunjukkan trend sokongan semakin meningkat di samping mampu mendapat undi protes.

BN mempertaruhkan Dr Mohamad Yusri Bakir, PN menamakan Abdul Muhaimin Malek manakala PSM mencalonkan Bawani KS.

Mujibu berkata, dinamik pengundi boleh berubah berdasarkan isu semasa dan persepsi terhadap calon serta parti.

Oleh itu, beliau yang juga Felo Penyelidik Ilham Centre berpendapat, walaupun BN mempunyai kelebihan di atas kertas, PN masih berpeluang meraih sokongan tambahan terutama jika mereka berjaya memanfaatkan isu-isu yang dekat di hati pengundi.

“Namun tanpa penawaran baharu yang berupaya menonjolkan sisi lain, PN mungkin gagal membawa pakatan itu lebih jauh, setidak-tidaknya merampas DUN di kawasan demografi bercampur itu.

“Bagaimanapun dalam PRK, faktor keluar mengundi yang rendah mungkin sedikit menyukarkan PN untuk mengekalkan undi asas, apatah lagi meningkatkannya,” jelas beliau.

Sementara itu Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpendapat Mohamad Yusri daripada BN dilihat lebih diyakini kerana bekas guru dan pensyarah maktab biasanya mempunyai hubungan yang akrab dengan masyarakat setempat.

“Jika dibandingkan dengan Abdul Muhaimin daripada PN, walaupun kerjayanya di sekolah agama swasta, beliau tidak ada pengalaman dalam perkhidmatan kerajaan selain latar belakang lulusan pondok dan agak muda dibandingkan dengan calon BN.

“Dari segi pengalaman mentadbir, saya melihat (calon PN) agak kurang di situ. Walaupun sama-sama membawa imej Islam, kelebihan ada pada Mohamad Yusri,” ujarnya.

Mengulas mengenai calon PSM, Mazlan menjangkakan Bawani akan hilang wang deposit dan tidak mampu bersaing dengan dua calon gabungan gergasi berkenaan.

“Walaupun Bawani merupakan pemimpin kanan PSM, beliau mungkin tidak dapat menandingi calon BN dan PN. Saya jangka undi yang diperoleh paling banyak tidak lebih 1,000 undi.

“Ini kerana beliau yang juga Pengerusi PSM Perak pernah kalah dalam pilihan raya pada 2022 di kawasan sama,” katanya.

BN sebelum ini menyasarkan 18,000 undi bagi memastikan kemenangan parti berkenaan pada PRK DUN Ayer Kuning.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran berkenaan selari dengan keputusan undi diperoleh BN dan PH pada PRU15.

Menurut Saarani, mengikut data pada PRU lalu sebanyak 75 peratus pengundi Ayer Kuning keluar mengundi dan BN menang dengan 9,088 undi manakala PH 6,875 undi.

“Kita tidak cakap besar dan dalam mesyuarat tadi saya sudah isytihar kerana pengundi berdaftar DUN Ayer Kuning berjumlah 31,897.

“Atas kertas jika diambil kira semangat di Nenggiri (Kelantan) dan Mahkota (Johor) satu campur satu jika BN semua 9,000 undi dan 6,000 undi PH jumlahnya 15,000 undi,” katanya semasa berucap pada majlis pengumuman calon di Tapah, Isnin lalu. – Sinar Harian

Related Posts