KULIM: Seorang lelaki bujang dan seorang wanita berstatus isteri orang ditahan dalam serbuan kes disyaki khalwat di sebuah rumah di Taman Kenari, di sini, kira-kira pukul 10 pagi hari ini.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, ketika serbuan dilakukan, penghuni rumah berkenaan mengambil masa hampir 20 minit sebelum pintu dibuka oleh seorang lelaki.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah mendapati seorang wanita berusia 27 tahun itu sedang tidur di ruang tamu bersama dua anak lelakinya di rumah teman lelakinya yang berusia 30 tahun.
“Siasatan awal mendapati wanita terbabit dalam proses perceraian selepas suaminya ditahan atas kesalahan dadah awal tahun ini.
“Lelaki berstatus bujang itu pula bekerja sebagai kontraktor pemasangan paip dan hasil soal siasat, kedua-dua mereka mengaku saling mengenali sejak lama dan rapat selepas suami wanita itu ditahan dan dimasukkan ke penjara,” katanya di sini hari ini.
Menurut Anwar Sharifuddin, ketika soal siasat wanita itu memberi alasan menumpang tidur di rumah lelaki itu kerana letih selepas baru sampai dari Perlis.
Jelasnya, namun pihak kami dimaklumkan rumah ibu mentua wanita terbabit berada berdekatan sahaja.
Tambahnya, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan dan ks disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat. – Kosmo