Negara

Kes tikam pelajar: Shing Xuen disemadikan, ucapan pilu selamat tinggal daripada keluarga dan rakan

SHAH ALAM: Suasana pilu menyelubungi Krematorium Nirvana, Seksyen 21 di sini apabila keluarga, guru dan rakan-rakan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Yap Shing Xuen, pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam kejadian tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selasa lalu.

Jasad mendiang sebelum itu tiba di Krematorium Nirvana, Seksyen 21 di sini kira-kira 12.20 tengah hari untuk penghormatan terakhir sebelum upacara pembakaran dijalankan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, pekarangan krematorium dipenuhi suasana hening dengan kehadiran ahli keluarga yang kelihatan sebak dan menitiskan air mata ketika upacara penghormatan terakhir dijalankan.

Beberapa individu turut menundukkan kepala sebagai tanda perpisahan terakhir kepada mendiang yang disifatkan sebagai pelajar periang dan disenangi guru.

Upacara pembakaran mendiang dijalankan pada hari ini selepas tiga hari upacara sembahyang dan penghormatan yang berakhir malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan laporan patologi berhubung kematian mangsa dijangka mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pihak patologi sebelum dapat mengesahkan jumlah sebenar kesan tikaman pada tubuh mangsa.

Ujar beliau, setakat ini laporan penuh belum diperoleh, kebiasaannya laporan patologi mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan sebelum sebarang pengesahan rasmi dapat dibuat.

Menurut Shamsudin, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan dan setakat ini sebanyak 127 keterangan telah diambil daripada saksi bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, ibu mangsa menerusi satu sidang akhbar mendakwa ahli patologi memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 200 kesan tikaman pada anaknya.

Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun di kawasan tandas perempuan di sekolah berkenaan.

Suspek kemudian ditahan dan direman tujuh hari untuk siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Berita Harian

Related Posts