PETALING JAYA – Aksi seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang mahir mengopek durian di gerai jualan milik bapanya mencuri tumpuan pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian video di TikTok milik @Nasrul_nordin, kanak-kanak tersebut dilihat begitu cekap mengendalikan pisau tajam sambil membuka durian sebelum melayan pelanggan yang ingin membeli buah tersebut.
Lebih mencuri perhatian apabila dia turut menunjukkan isi durian kepada pelanggan, seolah-olah seperti seorang ‘tauke durian’ yang berpengalaman.
“Budak lapan tahun pun dah jadi tauke durian,” tulis pemilik akaun tersebut di ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum dengan kemahiran kanak-kanak itu yang dianggap luar biasa bagi usianya.
“Aku yang 25 tahun ni, kalau buka durian hancur macam cincang daging,” kata Adilla Latif.
“Hebat kau dik… abang yang dah besar ni pun tak pandai buka kulit durian lagi,” komen Adam Irfan.
“Rasa bangga pula tengok, bukan semua kanak-kanak boleh buat macam ini. Dia belajar dari apa yang dia nampak,” ujar Surena. – Kosmo