Negara

Akmal Saleh, Hilman akan didakwa kerana gugat ketenteraman awam – AGC

SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan beberapa individu termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham akan didakwa dalam masa terdekat berhubung kenyataan mereka yang didapati menggugat ketenteraman awam.

AGC dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan yang dibuat oleh Muhamad Akmal di laman Facebook ‘Akmal Saleh’ dan Muhammad Hilman di akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’.

“Berdasarkan keterangan dan bukti yang diperoleh, jabatan ini memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] terhadap YB Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan YB Muhammad Hilman Idham,” menurut kenyataan tersebut.

Seorang lagi individu, Siti Hajar Aflah Sharuddin turut berdepan pertuduhan sama susulan hantaran yang dibuat melalui akaun TikTok ‘SHA Abrienda’.

S Chandrasegaran pula akan dituduh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] berhubung hantaran yang dibuat melalui akaun TikTok ‘cikguchandra3’.

“Semua pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat (local jurisdiction) dalam masa terdekat.

“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh kesemua individu terbabit didapati telah menggugat ketenteraman awam atau merupakan penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” jelasnya. – Sinar Harian

,

Related Posts