Negara

PEMASIK agih zakat kepada lebih 60 pesakit terlantar

SIK:  Pertubuhan Muafakat Anak Muda Sik Kedah (PEMASIK) menganjurkan program Ziarah Kasih–Maulidur Rasul dengan mengagihkan zakat kepada lebih 60 pesakit terlantar di kira-kira 20 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek di sini.

Pengerusinya, Azran Fitri Abdul Rahim berkata, program tersebut diadakan dengan kerjasama seorang usahawan muda berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Kami turut bekerjasama dengan pemimpin setempat untuk mendapatkan senarai pesakit terlantar di kawasan masing-masing.

AZRAN Fitri menyampaikan sumbangan zakat kepada Hasim Jaafar yang terlantar akibat strok di Perumahan KEDA Gulau, Sik Jumaat lalu.

“Zakat ini diagihkan pada Jumaat dan Sabtu lalu, dengan setiap pesakit menerima sumbangan tunai sebanyak RM500.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada usahawan ini. Kami doakan beliau terus dimurahkan rezeki dan berjaya,” katanya pada Isnin.

Azran Fitri berkata, program Ziarah Kasih–Maulidur Rasul itu diadakan sempena meraikan Hari Keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


Menurutnya, Maulidur Rasul bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi juga peluang untuk bermuhasabah mengenai sejauh mana kecintaan serta penghayatan umat Islam terhadap ajaran Baginda.

“Kami memilih pendekatan berbeza dengan turun menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya mereka yang terlantar sakit sejak sekian lama. Ia memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah dengan menilai kembali amalan seharian. – Suara Timur

Related Posts