Negara

Pelancong ‘serbu’ Indonesia

KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai mata wang rupiah Indonesia ke paras terendah mendorong kepada kemasukan ramai pelancong Malaysia ke negara itu.

Nilai tukaran ringgit yang lebih stabil membuka peluang kepada rakyat Malaysia melancong ke republik itu dengan kos hotel, makanan dan pengangkutan lebih rendah.

Berdasarkan data dikeluarkan Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia, pelancong Malaysia meningkat 24.22 peratus pada penghujung tahun lalu selain menyumbang 18.3 peratus pelancong antarabangsa ke negara berkenaan.

Malaysia kekal sebagai penyumbang utama pelancong asing ke Indonesia sejak 2022 dengan jumlah pelawat mencecah 2.27 juta orang pada 2024 mendahului negara lain seperti Australia, Singapura, China, Timor-Leste dan India.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, faktor kadar tukaran ringgit lebih baik berbanding rupiah menyebabkan ramai pelancong Malaysia ke Indonesia.

Bagaimanapun menurutnya, terdapat banyak faktor lain menyumbang kepada kemasukan pelancong Malaysia ke Indonesia.

“Indonesia terus menjadi destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia disebabkan faktor jarak dekat, kemudahan akses penerbangan, penginapan selesa, layanan hospitaliti bertaraf tinggi serta pelbagai pilihan makanan halal.

“Ini menjadikan pelancongan dirancang menjadi lebih mudah dan selamat untuk pelancong Muslim dari Malaysia.

“Gabungan antara kemudahan infrastruktur moden, sistem pembayaran digital efisien, serta kos pengangkutan dan barangan mesra bajet menjadikan pengalaman melancong ke Indonesia bukan sahaja berbaloi, malah menyeronokkan selain pelbagai tarikan pelancongan ditawarkan serta promosi pakej kompetitif,” katanya.

Menurutnya, Indonesia kekal sebagai destinasi menawarkan nilai terbaik untuk setiap ringgit dibelanjakan. – Harian Metro

Related Posts