KOTA BHARU: Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan penunggang motosikal di negara ini akan dikenakan tol bermula Oktober depan seperti yang tular pada Sabtu.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan tidak pernah mencadangkan tol untuk penunggang motosikal pada Oktober.
“Tidak ada…tidak pernah pun motosikal dibayar tol, saya difahamkan ini dari media sosial dan itu tidak betul. Itu fitnah dan boleh menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Siap Menaiktaraf Laluan FT003 dari Persimpangan Melor, Ketereh ke Kampung Pak Badol di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, tular satu gambar di media sosial yang memaklumkan penunggang motosikal boleh merasai pengalaman membayar tol mulai Oktober depan.
Bagaimanapun, terdapat netizen yang memberi komen bahawa gambar itu memerli penunggang motosikal yang tidak menggunakan lorong khas, sebaliknya melalui palang tol.
Dalam perkembangan lain mengenai Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, Alexander memberitahu, pelantikan kontraktor baharu sudah dilakukan dan kini kerja-kerja pembinaan berjalan lancar.
“Kami sudah meninjau lokasi itu petang kelmarin (Jumaat), perkembangannya sangat positif.
“Saya difahamkan pembinaan lebuh raya itu boleh siap Oktober tahun depan dan kita berharap tiada lagi sebarang masalah,” katanya. – Sinar Harian