Negara Politik

Nurul Izzah bertanding Timbalan Presiden PKR

PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar mengemukakan pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi sesi pemilihan kali ini.  

Teka-teki itu akhirnya terjawab selepas pencalonan itu disahkan melalui semakan dalam laman web Pemilihan PKR. 

Sejak beberapa hari lalu, ramai pemimpin tertinggi dan peringkat cabang menyatakan sokongan serentak terhadap Naib Presiden parti itu bagi merebut jawatan nombor dua tersebut. 

Sebelum ini, jawatan itu dimenangi oleh Datuk Seri Rafizi Ramli setelah menewaskan bekas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pada 2022. 

Gelombang sokongan terhadap Nurul Izzah muncul selepas Rafizi mengambil cuti, susulan pemilihan peringkat cabang PKR yang menyaksikan kekalahan beberapa tokoh penting yang berpihak kepadanya.

Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), AMK Pusat dan Wanita Pusat akan berakhir pada pukul 11.59 malam ini. 

Kongres Nasional 2025 dijadualkan berlangsung pada 24 Mei ini, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru (Persada).

Kongres Nasional akan berlangsung secara fizikal dengan kehadiran lebih 10,000 perwakilan dari seluruh negara, manakala lebih 20,000 perwakilan akan terlibat dalam proses pemilihan secara dalam talian. –  Utusan

Related Posts