KUANTAN: Penganjuran acara permotoran RXZ Fighter 2.0 mendapat sambutan di luar jangkaan apabila merekodkan lebih 70,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya di Teluk Chempedak di sini pada Jumaat dan Sabtu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding kira-kira 50,000 pada RXZ Fighter Gathering tahun lalu.
Menurutnya, lebih membanggakan, selain peserta dari seluruh negara, acara itu turut menerima penyertaan peserta luar negara.
“Semua negeri ada termasuk dari Perlis, Johor sehinggalah negeri dari Pantai Timur dan dari negara-negara lain juga. Kita lihat tadi ada dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Ini menunjukkan acara pemotoran ini sudah berada ke satu tahap tersendiri dan sudah dikenali dalam kalangan peminat sukan permotoran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyempurnakan Majlis Perasmian RXZ Fighter 2.0 di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut Fadzli berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan penuh bukan sahaja dalam usaha merancakkan aktiviti permotoran malah ia juga membantu dalam aspek ekonomi peniaga.

“Saya difahamkan penginapan termasuk hotel dan ‘homestay’ penuh sepanjang dua hari ini hingga ada peserta terpaksa berkhemah di tepi pantai dan tidur di masjid,” katanya.
Tambah beliau, acara itu akan diteruskan lagi tahun hadapan dengan persiapan lebih rapi.
“Ada cadangan supaya acara ini dianjurkan di daerah lain pula, bagaimanapun perkara itu telah dibincangkan dan akan terus diadakan di Kuantan, mengambil kira beberapa faktor termasuk isu penginapan,” katanya. – Sinar Harian