KUALA TERENGGANU: Pengajar di sebuah pondok di Tumpat, Kelantan, sekali lagi ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz di Kuala Nerus, tujuh bulan lalu.
Lelaki berusia 46 tahun itu yang dikenali dengan panggilan ‘Abuya’ ditahan di pekarangan sebuah madrasah pada 7.30 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mengesyaki suspek melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
Menurutnya, perbuatan itu difahamkan berlaku pada Februari lalu di sebuah pondok di Kuala Nerus, pada 9 malam.
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes seksual luar tabii dan penganiayaan terhadap kanak-kanak.
“Suspek direman lima hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(A) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Pada 11 September lalu, media melaporkan lelaki yang sama dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Pasir Mas atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.
Tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan terbabit. – Harian Metro