Home NasionalPantai Jambu Bongkok lokasi baharu penyu belimbing mendarat, bertelur tahun ini

Pantai Jambu Bongkok lokasi baharu penyu belimbing mendarat, bertelur tahun ini

oleh suara timur

MARANG: Seekor penyu belimbing mendarat dan bertelur buat kali keempat di pantai Terengganu tahun ini dengan sebanyak 70 biji telur ditemukan di Pantai Kampung Jambu Bongkok dekat sini pada awal pqgi tadi.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata seorang nelayan  menemukan Raja Penyu itu pada 4 pagi.

Menurutnya Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang menerima maklumat mengenai perkara tersebut pada 5.30 pagi.

KESAN jejak penyu belimbing yang mendarat dan bertelur di Pantai Jambu Bongkok, Marang pagi tadi.

“Kerja menggali sarang dijalankan pada 6 pagi dan sebanyak 70 biji telur berjaya dikeluarkan sebelum dipindahkan ke tapak pengeraman TCIC Rantau Abang.

banner

“Pemeriksaan di lokasi turut merekodkan kelebaran jejak penyu kira-kira 2.17 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penemuan itu menjadikan keseluruhan 265 biji telur daripada empat sarang penyu belimbing berjaya dipindahkan untuk tujuan perlindungan dan pengeraman sejak 1 Sept lepas.

Beliau berkata, pendaratan pertama direkodkan pada 1 Sept di Pantai Pasir Puteh, Marang dengan 44 biji telur diikuti pendaratan kedua pada 13 Sept di Pantai Rantau Abang yang menghasilkan 81 biji telur.

“Pendaratan ketiga pula direkodkan pada 22 Sept di Pantai Kuala Abang dengan 70 biji telur manakala pendaratan keempat berlaku di Pantai Jambu Bongkok pada awal pagi ini.

“Empat pendaratan yang direkodkan sepanjang September hingga hari  ini merupakan perkembangan yang amat bermakna dalam usaha pemuliharaan penyu belimbing di Terengganu,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengganggu atau menyentuh penyu yang mendarat sebaliknya segera melaporkan penemuan kepada Jabatan Perikanan Malaysia bagi membolehkan tindakan perlindungan dan pemuliharaan dilaksanakan.

Jabatan Perikanan Malaysia turut mengingatkan penyu dan telurnya dilindungi di bawah peruntukan undang-undang berkaitan, manakala kesalahan tertentu di bawah Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 2021) boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, tertakluk kepada peruntukan yang berkuat kuasa. – Suara Timur

Tinggalkan komen