KUALA TERENGGANU: Motosikal berkuasa tinggi milik seorang pemuda berusia 20 tahun disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas pemeriksaan mendapati cukai jalannya tidak pernah diperbaharui sejak enam tahun lalu.
Motosikal jenis MV Agusta F3 RC800 itu disita dalam Operasi Khas Motosikal di sekitar Jambatan Angkat, di sini, malam tadi.
Pemuda yang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke rumah saudaranya di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus, di sini, untuk berbuka puasa itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu kelas B penuh.
Dia mendakwa baru seminggu membeli motosikal berkenaan pada harga RM70,000 sebelum ke sini petang semalam dan bercadang pulang semula ke Ipoh, hari ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zamri Samion, berkata MV Agusta itu antara 25 motosikal yang disita dalam operasi bermula jam 10 malam hingga 1 pagi.
Katanya, operasi khas berkenaan dilaksanakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dengan pendekatan proaktif bagi membanteras aktiviti lumba haram serta kesalahan teknikal dan dokumentasi membabitkan motosikal.
Menurutnya, operasi menggunakan kaedah penyamaran membabitkan 18 anggota dan pegawai berpakaian preman bagi mengesan penunggang yang melakukan kesalahan sebelum tindakan diambil.
“Operasi ini fokus kepada beberapa kesalahan utama termasuk tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada perlindungan insurans selain pengubahsuaian ekstrem yang boleh membahayakan penunggang dan pengguna jalan raya lain.
“Kita juga memberi perhatian kepada aktiviti lumba haram dalam kalangan golongan muda yang dikesan aktif berdasarkan pemantauan dan aduan awam,” katanya ketika ditemui.
Kebanyakan motosikal yang disita didapati melakukan pelbagai kesalahan teknikal termasuk ubah suai melampau seperti penggunaan ekzos bising, tiada brek belakang dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi sehingga menyukarkan pengecaman.
Katanya, selain penguatkuasaan secara langsung di jalan raya, pihaknya turut menggunakan kamera penguatkuasaan bagi mengesan kesalahan kritikal seperti melanggar lampu isyarat dan tidak memakai topi keledar.
Beliau menambah, antara kesalahan utama dikesan ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, ubah suai motosikal secara ekstrem dan melanggar peraturan lalu lintas. – Berita Harian
