JERANTUT: Penduduk serta pelancong di sekitar jalan antara Kampung Kuala Tahan dan Kampung Mat Daling, di Ulu Tembeling, di sini, bimbang aspek keselamatan mereka selepas lebih 30 gajah didapati berkeliaran di sekitar laluan dan perkampungan terbabit.
Walaupun kawasan itu memang menjadi ‘laluan’ mamalia itu tetapi kekerapan haiwan itu muncul di kawasan berkenaan menyebabkan mereka bimbang pelbagai kejadian tidak diingini termasuk serangan gajah liar berlaku.
Imam Masjid Kampung Pagi Mi Hamidi Nipah, 56, berkata, haiwan itu sering dilihat berkeliaran di jalan dan berhampiran kampung termasuk berhampiran rumah penduduk.
Menurutnya, dalam kejadian terbaru sekumpulan gajah didapati muncul di Kampung Samas dan berkeliaran di jalan sambil mencari makanan.
“Memang penduduk pernah terserempak gajah sebelum ini tetapi kini haiwan itu lebih kerap datang ke kawasan kampung dan jalan yang menghubungkan Kuala tahan dan Kampung Mat Daling.
“Mungkin kehadiran gajah liar itu disebabkan masalah habitat mereka sudah terjejas kerana aktiviti pembalakan.
“Memang terkejut tetapi penduduk kampung dan pelancong juga teruja dapat melihat haiwan liar itu,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Penduduk Kampung Sat, Sallehudin Man, 59, pula berkata, jumlah haiwan itu dianggarkan lebih 30 ekor dan membabitkan pelbagai peringkat umur termasuk anak gajah.
Menurutnya, gajah itu terlalu kerap muncul di kawasan itu dan dia percaya haiwan itu tidak akan kembali ke habitat asalnya tetapi mungkin akan terus berada di pesisir Sungai Tembeling dan perkampungan di kawasan itu dan sekitar sebagai kawasan rayau.
“Dipercayai aktiviti pembalakan dan perladangan di Ulu Tembeling punca habitat asal gajah terganggu.
“Walaupun kami sudah biasa dengan situasi ini tetapi tetap berhati-hati menjaga keselamatan masing-masing dan tidak mengganggu haiwan itu,” katanya. – Harian Metro