Home NegeriDungun Sarong Fun Run bukan sekadar acara larian

Dungun Sarong Fun Run bukan sekadar acara larian

oleh suara timur

DUNGUN: Dungun Sarong Fun Run terus membuktikan acara sukan komuniti mampu memberi impak lebih besar kepada masyarakat apabila penganjuran edisi keempatnya tampil dengan pelbagai inisiatif yang membawa manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.

Selain menghimpunkan 1,200 peserta larian santai sejauh lima kilometer (km) itu,  program yang berlangsung di Taman Tasik Sura di sini baru-baru ini turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta pelbagai perkhidmatan awam yang memudahkan penduduk setempat.

Pengarah pertandingan Amran Abdullah berkata penambahbaikan itu diperkenalkan selepas pihak penganjur melihat peningkatan penyertaan golongan berusia dalam penganjuran terdahulu.

SERAMAI 1,200 peserta memeriahkan Dungun Sarong Fun Run edisi ke-4 2026 di di Taman Tasik Sura, Dungun, baru-baru ini.

Beliau berkata situasi itu membuka ruang kepada penganjur untuk memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

banner

“Jika sebelum ini acara larian ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada masyarakat luar bandar merasai pengalaman menyertai acara seumpama ini tanpa perlu ke bandar-bandar besar, kali ini kami mengambil langkah lebih jauh dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma menerusi kerjasama dengan Klinik Nova.

“Selain itu, pelbagai perkhidmata
n dan penyampaian maklumat secara terus turut diberikan kepada peserta dan pengunjung yang hadir.

SEBAHAGIAN daripada peserta menggayakan kain sarong pada  masyarakat menjayakan  Dungun Sarong Fun Run di Taman Tasik Sura, Dungun, baru-baru ini.

“Dengan mengambil kira beberapa insiden kesihatan yang berlaku dalam penganjuran acara sukan kebelakangan ini, sekurang-kurangnya pemeriksaan awal dapat membantu peserta mengetahui status kesihatan masing-masing sebelum menyertai aktiviti lasak,” katanya kepada pemberita.

Selain pemeriksaan kesihatan, beberapa agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Dungun, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa penyedia perkhidmatan lain turut membuka kaunter bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai.

Inisiatif itu dilihat membantu penduduk luar bandar yang sebelum ini berdepan kekangan jarak dan masa untuk mendapatkan perkhidmatan tertentu.

Turut diadakan pelbagai aktiviti sampingan berorientasikan keluarga seperti pertandingan mewarna, pertandingan pakaian cilik berhias serta cabutan bertuah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Rata-rata peserta dan pengunjung menyambut baik usaha berkenaan yang disifatkan menjadikan program itu lebih daripada sekadar acara larian.

Seorang peserta, Zamri Ghani, berkata faktor jarak dan kekangan masa sering menjadi halangan untuk beliau mendapatkan pemeriksaan kesihatan kerana tinggal jauh dari bandar Dungun.

“Saya berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada saya, malah kepada ramai lagi penduduk yang hadir bersama keluarga masing-masing,” katanya yang datang dari Bukit Besi, kira-kira 80 km dari lokasi program. – Suara Timur

Tinggalkan komen