KUALA BERANG: Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, ditutup kepada semua kenderaan susulan tanah runtuh berhampiran Sungai Deka Elephant Conservation Center, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian difahamkan berlaku jam 7 pagi membabitkan runtuhan di tepi dan bawah culvert.
Menurutnya, runtuhan itu dikategori sebagai kritikal dan tidak selamat dilalui oleh semua kenderaan membabitkan kawasan sepanjang 40 meter (m) dan lebar 15 m.
Katanya, pengguna boleh menggunakan jalan alternatif iaitu melalui Jalan Sungai Tong-Jerteh-Kuala Krai-Aring 8.
“Kejadian berlaku akibat hakisan tanah di kawasan permukaan dinding culvert akibat arus deras air dan ia adalah satu-satunya jalan untuk ke Sungai Deka Elephant Conservation Center.
“Difahamkan jalan ini digunakan untuk menghantar bekalan minyak bagi kegunaan generator elektrik dan sekiranya tidak dapat dilalui ia akan mengakibatkan generator berkenaan tidak dapat beroperasi,” katanya.
Menurutnya, tindakan awal sudah dilakukan dengan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dan penghadang konkrit di lokasi kejadian.
Katanya, pemantauan berterusan dilakukan di kawasan runtuhan dari semasa ke semasa dan notis kecemasan (NOE) sudah dihantar untuk permohonan pembaikan oleh pihak berkenaan. – Metro
