Home NegeriPerantau Terengganu beraya sambil beli emas

Perantau Terengganu beraya sambil beli emas

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Penurunan harga emas ketika ini mendorong orang ramai terutama perantau yang pulang menyambut Aidilfitri mengambil peluang mendapatkan logam berharga itu pada harga lebih rendah sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

Tinjauan di beberapa kedai emas sekitar bandaraya ini mendapati premis dipenuhi pelanggan khususnya perantau yang pulang beraya dan tidak mahu melepaskan peluang membeli emas berkualiti pada harga berpatutan.

Nurul Syahirah Ghani, 32, berkata, sekiranya berpeluang dia akan membeli emas apabila pulang ke kampung.

“Memang kalau balik kampung saya akan meninjau harga emas kerana nak dapat emas berkualiti memang di Terengganu, selain harga juga bagi saya sedikit murah.

banner

“Kebetulan saya lihat ada yang kongsi di media sosial harga emas minggu perayaan ini berlaku penurunan, jadi saya sempat pergi ke kedai emas semalam dan hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, dia turut mengambil peluang membeli emas ‘preloved’ yang disifatkan lebih menjimatkan kerana tidak dikenakan upah.

“Hari ini saya sempat beli gelang emas yang preloved sebab lagi murah dan tiada upah, jadi memang berbaloi selain kualiti emas terjamin,” katanya.

Seorang lagi pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Amira Nian berkata, kunjungannya ke kedai emas setiap kali pulang ke Terengganu sudah menjadi kebiasaan.


Wanita yang menetap di Shah Alam itu berkata, perbezaan harga emas yang ketara antara negeri menjadi faktor utama dia memilih untuk membeli di Terengganu.

“Tahun ini kebetulan saya balik kampung suami dan setiap kali balik memang boleh kata wajib pergi kedai emas.

“Saya mencari cincin tetapi agak susah nak dapat saiz yang sesuai. Hampir lima kedai saya pergi tetapi masih belum jumpa,” katanya.

Menurutnya, rakan-rakan di Shah Alam, Selangor, juga mengambil kesempatan dengan mengirim pembelian emas di negeri ini kerana harga yang lebih murah berbanding di tempat mereka.

Katanya, mereka hanya memesan dan saiznya tidak menjadi masalah kerana bukan untuk dipakai malah untuk dijadikan simpanan. – Metro

Tinggalkan komen