Home NasionalKerajaan digesa perketat kawalan sempadan, tangani isu PATI secara menyeluruh

Kerajaan digesa perketat kawalan sempadan, tangani isu PATI secara menyeluruh

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Kerajaan digesa memperketat kawalan sempadan negara dan mengambil tindakan tegas terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), termasuk majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen sah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK), Ahmad Dasuki Mohd Tahir berkata, kemasukan warga asing perlu diurus mengikut undang-undang manakala mereka yang tidak mempunyai dokumen sah tidak seharusnya dibiarkan berada di negara ini tanpa penyelesaian yang jelas.

Beliau berkata, isu PATI bukan perkara kecil kerana ia berkait rapat dengan keselamatan negara, kawalan sempadan, peluang pekerjaan, tekanan terhadap kemudahan awam serta ketenteraman masyarakat.

banner

“Kita berhimpun bukan kerana kebencian kepada mana-mana bangsa, tetapi mahu menyatakan pendirian bahawa Malaysia ialah negara berdaulat dan undang-undang negara mesti dihormati.

KETUA Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK), Ahmad Dasuki Mohd Tahir

“Rakyat Malaysia bekerja keras mencari rezeki, membayar cukai dan mematuhi undang-undang. Justeru, rakyat berhak bertanya sama ada sistem imigresen dan kawalan sempadan negara benar-benar cukup tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Himpunan Aman ‘Kemaman Bebas PATI’ yang disertai lebih 400 peserta di Padang Astaka Chukai di sini petang semalam.

Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah Kemaman itu turut disertai wakil Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, aktivis pendedahan PATI serta beberapa aktivis masyarakat dan wakil belia.

SEBAHAGIAN daripada peserta Program Himpunan Aman ‘Kemaman Bebas PATI’ di Padang Astaka Chukai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Beliau turut menggesa kerajaan mempunyai dasar yang jelas berhubung pelarian dan pencari suaka termasuk komuniti Rohingya, sambil menegaskan nilai kemanusiaan perlu diseimbangkan dengan kepentingan keselamatan serta kedaulatan negara.

Menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan enam langkah utama iaitu memperketat kawalan sempadan, memastikan semua warga asing dikenal pasti dan disaring mengikut undang-undang, membanteras sindiket penyeludupan manusia, mengambil tindakan terhadap majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen sah, menyediakan pelan jelas berkaitan PATI dan pelarian serta memastikan proses penghantaran pulang dibuat berdasarkan penilaian keselamatan dan undang-undang.

“Kita bukan mahu Malaysia menjadi negara yang zalim, tetapi kita juga tidak mahu menjadi negara yang lemah dalam menguatkuasakan undang-undang sendiri.

SEBAHAGIAN daripada peserta Program Himpunan Aman ‘Kemaman Bebas PATI’ di Padang Astaka Chukai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Kita mahu sebuah negara yang mempunyai dasar imigresen yang tegas, adil dan konsisten serta memastikan keselamatan, pekerjaan dan kesejahteraan rakyat Malaysia diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan himpunan berkenaan berlangsung secara aman dan tidak bertujuan menghina mana-mana bangsa, sebaliknya sebagai saluran menyampaikan tuntutan rakyat kepada kerajaan. –  Suara Timur

Tinggalkan komen