Negara

Emas berterusan rekod harga tertinggi dalam sejarah, RM470.38 segram

KUALA LUMPUR: Harga emas melonjak melebihi AS$3,300 seauns (RM467.84 segram) buat kali pertama dalam sejarah apabila pelabur beralih kepada aset selamat berikutan arahan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengkaji kemungkinan pelaksanaan tarif baharu ke atas import mineral kritikal negara itu.

Pada jam 8.25 pagi GMT (4.25 petang waktu Malaysia), harga emas semasa naik 2.7 peratus kepada AS$3,314.29 seauns (RM469.87 segram) selepas mencecah paras tertinggi sepanjang masa iaitu AS$3,317.90 (RM470.38 segram) pada awal dagangan. Niaga hadapan emas AS pula menokok 2.8 peratus kepada AS$3,330.30 seauns.

Arahan Trump pada Selasa bagi memulakan siasatan terhadap potensi pengenaan tarif ke atas semua import mineral kritikal AS bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap China – langkah yang dilihat memburukkan lagi ketegangan perdagangan global. Siasatan sama turut merangkumi sektor farmaseutikal dan semikonduktor.

“Perang perdagangan Trump jelas belum menunjukkan tanda reda. Tindakan terbaharu terhadap mineral, cip dan ubat-ubatan mencetuskan gelombang pelaburan ke arah aset selamat seperti emas, manakala pasaran saham terus menerima tekanan,” kata Ketua Strategi Komoditi Saxo Bank, Ole Hansen.

Menurutnya, unjuran harga emas yang dikemas kini oleh beberapa institusi utama turut meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus membeli logam berharga itu.

Bank ANZ pada Rabu menaikkan unjuran harga emas kepada AS$3,600 seauns bagi akhir tahun ini, manakala sasaran enam bulannya disemak kepada AS$3,500 seauns.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Perdagangan AS mengumumkan syarat pelesenan eksport baharu terhadap cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia H20 dan AMD MI308 ke China, yang turut memberi tekanan ke atas saham-saham Asia.

Sebagai tindak balas terhadap tarif baharu AS, China pada Selasa mengarahkan syarikat penerbangan domestiknya menghentikan semua penghantaran baharu pesawat Boeing, sekali gus mempertingkatkan ketegangan perdagangan dua hala.

Dolar AS turut menyusut 0.5 peratus berbanding mata wang utama lain, menjadikan emas lebih murah untuk pembeli luar negara.

“Kami mengemas kini unjuran harga emas kepada AS$3,500 disebabkan dunia kini berdepan ketidaktentuan, kebimbangan kemelesetan, ketegangan geopolitik, beban hutang fiskal dan langkah bank pusat mengurangkan kebergantungan terhadap aset dalam denominasi dolar AS,” kata Hansen.

Emas secara tradisinya dilihat sebagai pelindung nilai terhadap ketidaktentuan global.

Sementara itu, perak naik 2.4 peratus kepada AS$33.07 seauns, platinum susut 0.3 peratus kepada AS$957.05 dan paladium turun 0.1 peratus kepada AS$970.43 seauns. – Berita Harian

Related Posts