Negara

Enam beranak lemas, kereta tenggelam dalam sungai

JITRA – Enam beranak yang dikhuatiri hilang sejak Sabtu lalu ditemukan maut di dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di dalam Sungai Korok, di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri dan empat anak berusia enam bulan hingga sembilan tahun.

Pada masa ini operasi mengeluarkan mayat mangsa sedang dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jitra.

Sementara itu, ahli keluarga yang berada di lokasi kejadian dilihat menangis apabila melihat jasad diangkat seorang demi seorang.

ANGGOTA bomba menarik kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di dalam Sungai Korok, Jitra, hari ini.

Kosmo! Online malam tadi melaporkan seorang wanita tidak menyangka pertemuan bersama abang dan keluarganya pada malam Jumaat lalu menjadi detik terakhir mereka dilihat sebelum menghilang tanpa jejak keesokan harinya.

Kehilangan pasangan suami isteri dan empat anak mereka itu membingungkan keluarganya yang berusaha menjejaki mereka sejak semalam setelah tidak pulang ke rumah di Jerlun.

Wanita berkenaan, Nur Adliah Shuhada Ishak, 20-an, berkata, abangnya, Mohd. Azim Ezzat, 32, bermalam di rumahnya di Taman Aman di sini bersama isteri, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, dan empat anak mereka yang berusia 9, 8, 7 tahun dan enam bulan. – Kosmo

Related Posts