Mahkamah dan Jenayah Negara

‘Drama YB cekik pramugari masuk episod baharu’

JAKARTA: Kes melibatkan Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Sumatera Utara, Megawati Zebua, yang didakwa mencetuskan kekecohan kerana mencekik seorang pramugari syarikat penerbangan Wings Air, kini memasuki fasa baharu apabila pihak syarikat penerbangan terbabit secara rasmi membuat laporan polis di Markas Polis Resor (Polres) Nias.

Wings Air turut menafikan sebarang bentuk perdamaian antara kedua-dua pihak dalam insiden yang berlaku pada penerbangan IW-1267 laluan Gunungsitoli ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan pada 13 April 2025.

“Berdasarkan laporan dan catatan sebenar di lapangan, tiada permintaan damai daripada pihak pelanggan kepada pramugari yang bertugas,” kata Jurucakap Komunikasi Strategik Korporat Wings Air, Danang Mandala Prihantoro pada Khamis.

Danang menjelaskan bahawa syarikat telah membuat keputusan untuk meneruskan kes ini melalui saluran perundangan, dan laporan rasmi telah pun dibuat kepada pihak berkuasa.

“Wings Air tetap komited dalam melindungi keselamatan serta profesionalisme kru kabin, di samping memastikan ketenteraman dan keselesaan semua penumpang sepanjang penerbangan.

“Sehubungan itu, kami akan meneruskan proses undang-undang mengikut peraturan yang berkuat kuasa, dan perkara ini akan ditangani oleh pihak berkuasa di Markas Polis Resor Nias, Sumatera Utara,” katanya.

Sebelum ini, Megawati Zebua ketika dihubungi oleh pihak detikSumut mendakwa bahawa beliau dan pramugari terbabit telah saling memaafkan selepas kejadian berlaku.

“Sudah ada komunikasi dan saling memaafkan. Biarlah ini menjadi pengajaran kepada kita semua – baik penumpang mahupun pramugari. – Sinar Harian

Related Posts