Negara

Anak bekas Presiden Pas dilantik Mufti Wilayah Persekutuan baharu

SHAH ALAM -Pendakwah terkenal, Ahmad Fauwaz Fadzil telah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa 23 Mei 2025.

Pelantikan sarjana Islam yang juga anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor itu diumumkan melalui Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ketua Pengarah dan seluruh warga Jakim merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa mulai 23 Mei 2025.

“Semoga ALLAH SWT mempermudah segala urusan dan mengurniakan kekuatan dalam memikul amanah besar itu demi kemaslahatan ummah dan negara,” menurut hantaran tersebut pada Isnin.

Ahmad Fauwaz merupakan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan memiliki kelulusan dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar serta Universiti Malaya, selain menjalani latihan kefatwaan di Dar al-Ifta, Mesir.

Pada Oktober lalu, kerajaan melantik Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas bagi menyediakan sukatan pelajaran pemulihan akidah mangsa dan pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Untuk rekod, Ahmad Fauwaz juga merupakan adik kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil. – Sinar Harian

Related Posts