Negara

222 pelajar IPT hidap HIV tahun lalu

KUALA LUMPUR: Seramai 222 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini disahkan menghidap HIV, tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sebahagiannya dikesan mendapat jangkitan seawal usia 18 dan 19 tahun.

Menurutnya, jumlah keseluruhan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar IPT dari 2020 hingga 2024 adalah seramai 1,091 orang.

“Pada tahun lepas, kita mencatatkan 222 jangkitan yang baharu (dalam pelajar IPT) daripada 3,185 jumlah keseluruhan jangkitan.

“Ini bermaksud aktiviti-aktiviti (berisiko) ini sudah pun berlangsung lebih awal,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Meja Bulat Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan, di sini, hari ini.

Lukanisman berkata, sebagai langkah pengurangan kemudaratan, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) yang dilancarkan di beberapa fasiliti kesihatan dan sudah menunjukkan kejayaan.

Bagaimanapun beliau mengakui KKM berdepan cabaran besar untuk menyediakan akses ujian saringan kendiri kepada remaja di bawah umur.

“Apa yang menjadi satu permasalahan ketika ini adalah akses kepada ujian kendiri bagi remaja di bawah umur, di mana kita tidak mempunyai satu perundangan khusus.

“Kita memerlukan kebenaran ibu bapa untuk menjalankan ujian kendiri dan juga kebenaran untuk mendapatkan rawatan. Ini agak menyukarkan remaja yang ingin tampil ke hadapan,” katanya.- Harian Metro

Related Posts