KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.
Suzilme cedera susulan kekecohan akibat rempuhan penduduk yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.
Berdasarkan pemerhatian, Suzilme dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian muka.

Terdahulu, operasi pengosongan bangunan kecoh seketika apabila penduduk mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan berkenaan.
Operasi berkenaan dilaporkan diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.
Tindakan itu diambil susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan.
Tinjauan awal BH mendapati, beberapa penduduk sudah mula berkumpul sejak malam tadi sebagai tanda solidariti terhadap jiran mereka yang terbabit. – Berita Harian