Negara

PDRM hormati hak berhimpun, utamakan keselamatan awam di Dataran Merdeka – KPN

KUALA LUMPUR – Para peserta himpunan di ibu kota pada Sabtu dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada serta memelihara ketenteraman dan keselamatan di kawasan sekitar.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penganjuran perhimpunan aman yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka.

“Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Dalam semangat tersebut, kita komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Khalid berkata, segala bentuk kerjasama daripada semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan.

“Harapan kami agar setiap suara yang dizahirkan dapat disampaikan dalam suasana yang saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta adab masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, bagi masyarakat umum yang mungkin tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan itu disarankan merancang perjalanan lebih awal dan menyemak maklumat trafik semasa.

“Ia bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kelewatan, memandangkan aliran trafik dijangka mengalami sedikit perubahan sepanjang berlangsungnya perhimpunan,” katanya.

Menurutnya, dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan negara, PDRM memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan terus dipelihara dan dalam masa yang sama, hak-hak kebebasan rakyat akan tetap dihormati.

“Kita percaya bahawa perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama yang erat dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya.

Mohd Khalid berkata, pihaknya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan menyeru agar semua pihak terus memainkan peranan secara berhemah dan matang.

“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap ruang demokrasi yang terbuka ini dimanfaatkan secara positif, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts