PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau memberi kebebasan sepenuhnya kepada pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka dengan berkesan, termasuk dalam membasmi jenayah rasuah.
Perdana Menteri menafikan beliau berdendam dan sengaja mencari kesalahan supaya sesuatu kes itu disiasat, sebaliknya mahu memastikan amalan yang melanggar tatakelola dihentikan.
“Ada orang kata saya dendam, cari salah. Tak, tak benar. Saya hanya beri kebebasan betul-betul. Saya beritahu Jemaah Menteri, kita tidak campur.
“Kita beri kebebasan kepada polis menjalankan kerja mereka dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan tugasnya, kutip cukai, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) geledah supaya menghentikan amalan rasuah.
“Negara boleh kaya tapi kalau pimpinannya itu sibuk cari kakayaan untuk diri, bila nak jaga rakyat? Bila ada keterlanjuran, guna kuasa sampai kaya raya, ratus-ratus juta simpan.
“Boleh kita nak ambil tindakan? Tak boleh, kita jangan dendam, jadi negara rosak,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PJH), Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, dalam sesi Pemukiman Jemaah Menteri Kerajaan Madani 2025 di Bangi, semalam, beliau meminta supaya setiap aduan dan kritikan berhubung prestasi kerajaan diambil perhatian serta diambil tindakan.
Katanya, ada yang mendakwa sesetengah menteri tidak memberi penjelasan yang baik walaupun program yang dijalankan bermanfaat, selain isu seperti tebatan banjir, jalan berlubang dan bekalan elektrik di kawasan pedalaman.
“Kita dengar dan kita mesti ambil tindakan. Saya tidak ada masalah jika orang tegur dan kritik kita kerana kita bukan sempurna, dan kita mesti dengar untuk perbaiki.
“Bukan sahaja saya sebagai Perdana Menteri tapi ketua jabatan, ketua syarikat, semua harus dengar supaya dapat kita perbaiki,” katanya.
Mengenai wajah baharu pusat beli belah Alamanda, Perdana Menteri berkata, ia adalah mercu tanda yang mampu menjadi tarikan dan menambah keceriaan di Putrajaya.
Beliau turut mengingatkan, dalam kerancakan membangunkan mercu tanda dan pasar raya baharu, ia mesti dapat memberi manfaat kepada pelbagai golongan.
“Mungkin dalam bulan Ramadan nanti, ada acara dan boleh panggil murid sekolah anak yatim supaya mereka sama-sama dapat merasai kenikmatan yang kita rasai.
“Ia tidak memerlukan terlalu banyak (perbelanjaan) tapi jika usaha ini dilakukan puluhan ribu orang, ia akan memberi manfaat kepada ratusan ribu orang,” katanya.
Projek naik taraf Alamanda, membabitkan lantai berkeluasan 18,581 meter persegi dimulakan PJH pada pertengahan 2023 dan ia adalah projek pengubahsuaian terbesar yang pernah dilancarkan sejak Alamanda dibuka pada 2004.
Antara tarikan baharu di Alamanda, termasuk arena boling dan panggung wayang yang lebih besar serta 59 kedai, berbanding 42 kedai sebelum ini, selain tarikan baharu iaitu taman cabaran, Escape Putrajaya. – Berita Harian