PENDANG: Pemandu ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 65.3 Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke utara, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Mohd Happyzam Abd Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 11.36 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak dan BBP Pendang yang diketuai Muhammad Muslim Al Mubarak tiba di lokasi pada 11.58 malam.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi di sebelah kiri jalan.
Katanya, kenderaan itu kemudian terbalik sebelum terbakar.
“Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang mangsa di dalam kereta terbabit dan tindakan operasi kerja-kerja pemadaman dilakukan sehingga api berjaya dikawal pada 12.40 tengah malam.
“Terdapat seorang mangsa berada dalam kereta terbabit dalam keadaan rentung, namun jantina serta identitinya belum dikenal pasti,” katanya. – Berita Harian