KAJANG: Seorang anggota polis ditemui meninggal dunia di unit kediaman sewanya di sebuah pangsapuri di Bandar Mahkota Cheras, di sini, semalam.
Mayat anggota berpangkat lans koperal berusia 37 tahun dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) itu dijumpai susulan rakan setugas cuba mencarinya selepas dikatakan tidak hadir bekerja.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat itu pada jam 11.59 pagi daripada seorang anggota polis berusia 20 tahun yang juga rakan setugas si mati.
“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil ke lokasi untuk membantu membuka pintu rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui anggota itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Hospital Kajang yang tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan punca kematian disahkan akibat saluran jantung tersumbat.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Zharif Shah Ab Rashid melalui talian 012-5925390 atau tampil ke Balai Polis Kajang untuk membantu siasatan. – Berita Harian