BESUT: Galeri Nurly Sahirah bakal diwujudkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tanda penghargaan kecemerlangan Allahyarham Nurly Sahirah Azman dalam bidang tahfiz al-Quran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, galeri berkenaan akan ditempatkan di dalam bangunan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan) di universiti itu yang bakal siap awal tahun 2027.
Katanya, peristiwa yang berlaku terhadap Nurly dapat dijadikan ibrah (pengajaran) kepada golongan muda lebih dekat dengan al-Quran.
“Jika keluarga izinkan mungkin tahriri (al-Quran tulisan tangan) arwah ini juga akan ditempatkan di galeri berkenaan sebagai sumber inspirasi kepada pelajar lain,” katanya ketika melakukan Program Ziarah MADANI Peduli di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini, hari ini.
Katanya, orang ramai termasuk syarikat atau individu juga dipelawa untuk membuat sumbangan wakaf bagi pembinaan galeri itu.
Sementara itu, Pengarah I-Furqan Prof Dr Azmil Hashim berkata, bangunan I-Furqan berharga RM 15 juta wakaf dari syarikat swasta sedang dalam proses pembinaan.
“Bangunan dua tingkat itu akan menempatkan beberapa bahagian termasuk Galeri Nurly Sahirah serta perpustakaan khas dalam bidang Turath Islami al-Quran,” katanya.
Katanya, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk memantapkan lagi pengisian bahan ilmiah dalam bangunan berkenaan.
“Galeri Nurly Sahirah kelak akan menjadi inspirasi kepada pelajar tahfiz kami untuk memantapkan hafazan melalui tulisan bukan sekadar lisan sahaja.
“Kami menjangkakan bangunan serta galeri ini akan siap sepenuhnya pada awal tahun 2027,” katanya. – Harian Metro