Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas sebuah bot dilaporkan terbalik di perairan Pulau Tenggol, Dungun pada 27 Ogos lalu, ditamatkan hari ini selepas tiada sebarang petunjuk atau penemuan berjaya dikesan
Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi pencarian meliputi kawasan seluas kira-kira 801.22 batu nautika persegi dan dilaksanakan secara sistematik dengan mengambil kira keadaan cuaca, laut, arus serta kemungkinan hanyutan mangsa
“Sepanjang operasi, pelbagai kaedah pencarian telah dilaksanakan termasuk pencarian permukaan, penggunaan sonar, operasi selaman serta penggunaan Remote Operated Vehicle (ROV) bagi membantu mengesan sebarang petunjuk atau objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa
“Namun begitu, sehingga operasi ditamatkan, tiada sebarang petunjuk atau penemuan yang dapat dikaitkan dengan mangsa berjaya dikesan,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, keputusan menamatkan operasi dibuat selepas semua sektor pencarian yang dikenal pasti telah dilaksanakan dan tiada maklumat baharu diperoleh yang dapat membantu usaha mengesan mangsa
“Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi, pasukan penyelamat, komuniti maritim serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang operasi ini atas kerjasama, komitmen dan bantuan yang diberikan
“Walaupun operasi carilamat ditamatkan, aset Maritim Malaysia yang melaksanakan rutin rondaan akan terus membuat pemantauan sekiranya terdapat sebarang maklumat atau penemuan baharu berkaitan mangsa,” katanya
Khamis lalu Maritim Malaysia Zon Kemaman menerima makluman awal daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan pada 6.25 petang mengenai mangsa, Sabrie Rusli, 32, dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan masih belum ditemukan sehingga kini. – Suara Timur
