PETALING JAYA: Kerajaan menyalurkan bantuan tambahan berjumlah RM75 juta bagi meringankan beban pengguna diesel, khususnya golongan petani, pesawah dan pemilik kenderaan, susulan tekanan krisis tenaga global.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu melengkapkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7 bilion bagi subsidi bahan api setakat April 2026.
Menurut beliau, antara inisiatif utama ialah kenaikan Insentif Pembajakan Pesawah daripada RM160 kepada RM300 sehektar semusim, yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah dengan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta.
“Selain itu, Bantuan Interim Budi Agri-Komoditi turut dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 bagi bulan April, melibatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM20 juta sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Bantuan Interim Budi Diesel Individu juga dinaikkan kepada RM400 berbanding RM300 sebelum ini, memberi manfaat kepada lebih 150,000 pemilik kenderaan diesel di Semenanjung dengan tambahan RM15 juta sebulan.
Dalam masa sama, kerajaan turut melonggarkan syarat permit khas bagi pembelian diesel melebihi 20 liter untuk kegunaan selain kenderaan.
“Langkah ini penting bagi memastikan kelancaran operasi sektor pertanian, mengawal kos pengeluaran serta menjamin bekalan makanan negara terus stabil,” jelasnya.
Kerajaan Madani kekal komited melaksanakan intervensi bersasar bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global. – Kosmo
