Home Nasional‘Ini gegaran paling kuat, rumah bergoyang’

‘Ini gegaran paling kuat, rumah bergoyang’

oleh suara timur

MUAR: Penduduk Bukit Kepong, Pagoh dikejutkan dengan gegaran gempa bumi lemah, yang dirasai sekitar jam 8.55 pagi, Ahad.

Siti Noorseha Azni, 36, dari Kampung Jawa Lenga berkata, dia sedang bersarapan bersama ibunya apabila terasa gegaran pada kaki.

“Pada mulanya saya ingat ada lori lalu depan rumah, tapi selepas membaca kenyataan MetMalaysia barulah saya sedar ia gegaran gempa.

“Gegaran itu berlaku dua kali dan hanya beberapa saat,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

banner

Bagi Mohamad Sunizam Bakar, 36, penduduk Felda Sri Ledang, kejadian pagi adalah gegaran terkuat yang pernah dialaminya selepas gempa di Segamat sebelum ini.

“Rumah saya terletak di tengah antara Segamat, Tangkak dan Muar, tetapi gegaran masih terasa. Ada jiran yang turut mengesahkan turut merasainya, malah terdengar bunyi letupan sebentar,” katanya.

Muhd Aiman Nazir, 24, dari Kampung Durian Daun, berkata, keluarganya turut terkejut kerana ketika itu hujan lebat dan dia sedang baring di rumah.

“Tiba-tiba terasa rumah bergoyang, memang mengejutkan kami sekeluarga,” katanya.

Menurut MetMalaysia, gempa bumi lemah dengan kekuatan 3.4 magnitud berlaku di Bukit Kepong, Pagoh pagi Ahad.

Sementara itu, Pegawai Daerah Muar, Zainal Eran berkata, tiada laporan kemalangan jiwa, kecederaan mahu pun kerosakan harta benda diterima susulan kejadian berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Muar berkata, pihak berkuasa keselamatan dan agensi berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan orang awam serta kawasan setempat dalam keadaan selamat dan tenteram.

“Berdasarkan laporan awal, kejadian dirasai di sekitar Bukit Kepong, Bukit Serampang, Lenga serta serta kawasan berhampiran sempadan daerah Tangkak dan Segamat. – Sinar Harian

Tinggalkan komen