Home NasionalTelaga Tujuh Puteri ‘khazanah senyap’ Kelantan

Telaga Tujuh Puteri ‘khazanah senyap’ Kelantan

oleh suara timur

GUA MUSANG: Suasananya yang dikelilingi batu granit besar dan aliran air yang menenangkan menjadikan ruang ini seolah-olah sebuah sudut semula jadi yang tertutup dari dunia luar.

Bagi pengunjung, Nur Natasya Amira Che Mat Zaid, 25, Telaga Tujuh Puteri bukan sekadar lokasi persinggahan, tetapi menjadi tempat yang sentiasa memberikan pengalaman berbeza setiap kali dikunjungi terutama ketika masuk ke dalam telaga sedalam kira-kira semeter itu.

Kunjungan pertamanya pada 27 September 2023 bermula ketika mendaki Gunung Baha, Ayam dan Stong tanpa mengetahui langsung kewujudan telaga itu sebelum menemuinya sendiri.

“Pertama kali saya sampai, rasa terpegun, suasana sangat tenang dan penat mendaki terus hilang.

“Apabila masuk ke dalam telaga yang muat-muat seorang untuk mandi, sangat segar,” katanya yang mengetahui tentang telaga itu selepas ia kerap muncul dalam paparan cadangan (FYP) TikTok.

banner
KAWASAN riadah yang mampu mengembalikan tenaga selepas mendaki.

Menurutnya, air telaga yang sangat jernih sehingga menampakkan batu dasar menjadi tarikan utama selain bunyi yang menenangkan.

Suasana itu membuatkan mandi-manda di kawasan berkenaan menjadi satu pengalaman yang sukar didapati di tempat lain.

Berkongsi mengenai perjalanan, dia melalui trek ke Kem Baha sebagai pendaki pertama kali dengan anggaran dua jam pendakian, namun diingatkan berhati-hati terutama selepas hujan kerana batu di sekitar telaga mudah menjadi licin.

“Wajib pakai kasut yang sesuai sebab batu boleh jadi licin.

“Paling penting, jaga adab bila masuk hutan, jangan buang sampah, jangan rosakkan apa-apa,” tegasnya.

Saiz, kedalaman berbeza

Penduduk, Nik Ali Nik Muhammad, 34, berkata, tujuh kolam ini terbentuk secara alami hasil hakisan air sejak ratusan tahun dahulu.

Setiap telaga mempunyai saiz dan kedalaman berbeza dan hanya dua daripadanya biasa dimasuki pengunjung.

KAWASAN berlubang adalah salah satu telaga yang ada di Telaga Tujuh Puteri.

“Setiap telaga berbeza bentuk, ada yang kecil sekadar muat seorang, ada yang lebih luas sedikit.

“Dua sahaja telaga yang selamat dimasuki kerana airnya tenang,” katanya.

Nik Ali berkata, risiko paling besar ialah jika cuaca tidak menentu.

“Apabila hujan, tak digalakkan masuk sebab kita tak akan tahu jika kepala air datang,” jelasnya.

Walaupun menjadi lokasi persinggahan popular pendaki sejak 1980-an, kawasan ini tidak berubah. Bentuk telaga masih sama, airnya tetap jernih dan persekitarannya kekal semula jadi.

Di sebalik keindahan fizikalnya, masyarakat tempatan turut menyimpan pesan lama yang masih diamalkan hingga kini.

Ada yang mengatakan kawasan itu ‘bertuan’, justeru pengunjung diingatkan menjaga adab.

“Orang lama pesan, jangan kencing dalam telaga,” ujar Nik Ali ringkas memberi gambaran satu pantang yang menzahirkan penghormatan terhadap alam.

Melihat perubahan ekopelancongan Dabong semakin mendapat perhatian luar, Nik Ali yang juga pemandu pelancong itu turut berharap Telaga Tujuh Puteri akan terkenal di mata pencinta alam semula jadi. – Sinar Harian

Tinggalkan komen