Home NasionalNelayan temui muntah paus di perairan Kuala Belawai, Sarawak

Nelayan temui muntah paus di perairan Kuala Belawai, Sarawak

oleh suara timur

BELAWAI: Seorang nelayan tempatan dari Kampung Lot Baru Belawai menemukan seketul bahan luar biasa yang dipercayai sebagai muntah paus atau dikenali sebagai ambergris seberat 1.2 kilogram, di perairan Kuala Belawai.

Muntah paus itu ditemui Semawi Mantali, 58, ketika beliau sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan pesisir pantai sekitar jam 7 pagi.

Menurut Semawi, objek terapung yang kelihatan seperti batu lilin itu menarik perhatiannya kerana teksturnya yang unik dan baunya yang luar biasa. 

“Saya sangka ia hanya sampah laut biasa, tetapi apabila saya angkat dan periksa, baunya kuat dan bentuknya pelik. Saya terus bawa pulang untuk ditunjukkan kepada orang kampung,” ujar Semawi.

banner
SEMAWI Mantali menunjukkan muntah paus di perairan Kuala Belawai, Sarawak

Ambergris merupakan bahan pepejal bertekstur lilin yang terbentuk dalam sistem penghadaman paus sperma.

Walaupun ia berbau busuk pada awalnya, bahan ini akan berubah menjadi wangi dan sangat berharga apabila terdedah kepada udara dan cahaya matahari selama bertahun-tahun.

Ia amat dihargai dalam industri minyak wangi kerana keupayaannya untuk mengekalkan aroma dalam tempoh yang lama.

KETULENAN muntah laut yang ditemui Semawi Mantali di perairan Kuala Belawai, Sarawak masih belum dapat disahkan.

Penemuan ini berpotensi membawa nilai ekonomi yang tinggi, memandangkan ambergris sering digunakan dalam penghasilan minyak wangi premium dan boleh mencecah harga ribuan ringgit bergantung kepada kualiti dan beratnya.

Sementara itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah menggerakkan pasukan berkaitan ke Kuala Belawai bagi menyiasat penemuan bahan luar biasa yang didakwa sebagai ‘muntah paus’ atau ambergris.

Menurut kenyataan SFC, proses verifikasi saintifik kini sedang dijalankan dan setakat ini ketulenan bahan berkenaan masih belum dapat disahkan. – Gendang Berita Kita

Tinggalkan komen