Home NasionalWarga berjiwa UPSI jadi nadi kejayaan universiti

Warga berjiwa UPSI jadi nadi kejayaan universiti

oleh suara timur

Oleh BAZLI RAZAK

TANJONG MALIM: Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sarat dengan semangat dan jiwa UPSI menjadi pemangkin utama kejayaan universiti dalam pelbagai bidang seni, budaya dan kreativiti sepanjang tahun 2025.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, setiap kejayaan pelajar dan pensyarah adalah bukti kekuatan jiwa, identiti serta komitmen warga universiti yang sentiasa mengekalkan roh pendidikan dan budaya yang menjadi asas penubuhan UPSI.

“Kemenjadian pelajar-pelajar kita telah mula bersinar di persada negara dan antarabangsa sejak kebelakangan ini. Ini membuktikan bahawa UPSI tidak terpesong daripada landasan seni dan budaya negara.

DR MD AMIN MD TAFF

“Ini bukan kejayaan individu semata-mata, tetapi kejayaan seluruh warga UPSI yang kita cintai. Jiwa UPSI dalam diri warganya adalah tulang belakang kekuatan universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan UPSI edisi Disember bertemakan Ekspresi Seni Budaya di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, hari ini.

Md Amin turut berbangga dengan penglibatan kumpulan DeVokalis UPSI dalam Konsert Wings 40 Tahun di Idea Live Arena, Damansara, yang dianggap sebagai pengiktirafan terhadap kemampuan pelajar UPSI tampil di pentas profesional.

GURU vokal UPSI, Jamilah Abu Bakar (kiri) ketika sesi perkongsian proses komposisi album terbaru Datuk Siti Nurhaliza pada Perhimpunan Bulanan UPSI edisi Disember di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.


Pelajar-pelajar UPSI terus mempamerkan kecemerlangan apabila muncul Juara Keseluruhan Malam Bumi Kenyalang di Universiti Sains Malaysia, serta meraih Best Folk Dance Performance Award di 34th International Korean Dance Festival di Korea Selatan.

Di Eropah pula, pelajar UPSI Nur Airisha Sofiya Ahmad Zahari meraih tempat pertama kategori Trio Ethnic Creative dalam pertandingan gamelan di Prague dan Budapest.

Dalam bidang muzik, kejayaan UPSI dilonjakkan dengan kemenangan dalam Pertandingan Dikir Barat Kelantan di ASWARA, meraih Anugerah Emas dalam Malaysian International Wind Festival, serta kejayaan pelajar E.D. Shazry Aman muncul juara Raise The Star Malaysia di TV3. UPSI turut mengekalkan dominasi dalam Malaysia International Keroncong Festival.

banner
KEMUNCULAN Aznan Alias (dua dari kanan) pada segmen bicara Promosi Konsert Gendang Pati@UPSI pada Perhimpunan Bulanan UPSI edisi Disember di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.


Dalam arena teater, pelajar UPSI diumumkan Pelakon Lelaki Terbaik dan Juara Keseluruhan Manifestasi Teater Negeri Perak 2024, selain menjuarai Lomba Teater di Universitas Indonesia sempena Festival SEGARA ASEAN 2025.

Md Amin berkata, kejayaan pensyarah UPSI juga tidak kurang hebatnya apabila seorang guru vokal universiti dipilih sebagai penulis lirik dan komposer lagu baharu Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bertajuk Gema Bumantara, sekali gus mengangkat nama UPSI ke pentas muzik arus perdana.

Perhimpunan itu turut menampilkan segmen bicara promosi Konsert Gendang Pati@UPSI yang dijadual berlangsung pada 17 Januari 2026. Segmen tersebut menampilkan Aznan Alias, Pengarah Muzik konsert berkenaan yang juga anggota Kumpulan Gong Datuk (Dr) M. Nasir, bagi memberi pendedahan awal mengenai konsep persembahan yang mengetengahkan warisan gendang Melayu.

“Semua kejayaan itu membuktikan bahawa Jiwa UPSI yang tertanam dalam diri pelajar, pensyarah dan seluruh warga universiti merupakan nadi yang menggerakkan UPSI untuk terus unggul dalam seni, budaya dan pendidikan,” ujar beliau. – Suara Timur

Tinggalkan komen