Home NasionalPesakit mental di Pahang meningkat, tekanan hidup dan ekonomi antara punca

Pesakit mental di Pahang meningkat, tekanan hidup dan ekonomi antara punca

oleh suara timur

KUANTAN: Jumlah pesakit mental di Pahang menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima tahun bermula 2020, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim.

Beliau berkata, pesakit baharu yang menerima rawatan pada 2020 ialah 1,721 meningkat kepada 1,791 pesakit (2021), 1,972 pesakit (2022), 2,508 pesakit (2023) dan 3,076 pesakit (2024).

“Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan dan dapatan saringan, antara punca masalah kesihatan mental serta penyakit mental ialah tekanan hidup dan ekonomi termasuk faktor kos sara hidup yang meningkat, pengangguran dan hutang isi rumah.

“Selain itu, masalah keluarga dan hubungan sosial iaitu konflik rumah tangga, penceraian, kekurangan sokongan emosi turut menjadi antara punca selain masalah kesihatan kronik dan bencana antaranya kesan pasca-COVID-19, banjir serta kehilangan harta benda,” katanya.

banner

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hassanuddin Salim (PN-Kuala Semantan) yang ingin tahu jumlah pesakit mental di Pahang, punca dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Razali berkata, Jabatan Kesihatan Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kesihatan mental rakyat termasuk menerusi pelaksanaan saringan awal, program pendekatan ke sekolah, tempat kerja dan komuniti.

Beliau memaklumkan sehingga Mei 2025, sebanyak 34,727 individu di seluruh negeri telah disaring dengan 541 dirujuk untuk intervensi lanjut dan 70 disahkan mempunyai penyakit mental.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM39 juta bagi membiayai 411 Program Sejati MADANI di seluruh Pahang, setakat 20 Nov lepas.

Beliau berkata, Kuantan mencatatkan kelulusan tertinggi dengan 75 program, diikuti Raub (65), Maran (48), Jerantut dan Rompin masing-masing 47, Temerloh (35), Pekan (31), Lipis (27), Bentong (24), Bera (11) serta Cameron Highlands (dua).

Beliau berkata program Kampung Angkat MADANI membabitkan 17 kampung setakat ini, merangkumi empat kampung pada 2024 dan 13 kampung pada 2025.

“Pada 2024, setiap kampung menerima peruntukan RM2.5 juta, manakala bagi 2025, 13 kampung terbabit dengan peruntukan RM1 juta setiap satu,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mustapha Long (BN-Padang Tengku) mengenai jumlah komuniti dan kampung di Pahang yang menerima manfaat Program Kampung Angkat MADANI dan Sejati MADANI serta sejauh mana kedua-dua inisiatif itu mampu meningkatkan taraf ekonomi penduduk dan komuniti terbabit. – Metro

Tinggalkan komen