Home NasionalCadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur wajar dilaksanakan – Luqman Long

Cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur wajar dilaksanakan – Luqman Long

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk melaksanakan pilihan raya bagi memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur wajar dipertimbangkan dan tidak seharusnya ditolak mentah-mentah, kata aktivis, Luqman Long.

Beliau berkata, hasrat Menteri Wilayah Persekutuan untuk mengkaji pelaksanaan pilihan raya tersebut telah menerima pelbagai reaksi, termasuk bantahan keras yang disifatkan tidak berasas serta bersifat emosi.

Menurutnya, pelantikan Datuk Bandar secara lantikan ketika ini menyebabkan warga kota tidak mempunyai kuasa menentukan hala tuju pembangunan bandar, sedangkan Kuala Lumpur merupakan ibu negara dengan populasi dan kepentingan ekonomi yang besar.

“Warga kota Kuala Lumpur sepatutnya diberi hak memilih Datuk Bandar mereka sendiri kerana jawatan itu mempunyai pengaruh besar terhadap kehidupan harian, pembangunan bandar dan penggunaan peruntukan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

banner

Luqman berkata, Datuk Bandar yang dilantik tidak terikat secara langsung dengan kehendak rakyat kerana tidak dipilih melalui proses pilihan raya, malah ramai warga kota tidak mengenali individu yang memegang jawatan tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa amalan memilih ketua bandar melalui pilihan raya telah lama diamalkan di beberapa negara lain, termasuk Australia yang memilih mayor, serta Jakarta yang memilih gabenor bagi mentadbir wilayah dengan puluhan juta penduduk.

“Jakarta memilih gabenor melalui pilihan raya dan sistem itu berfungsi. Tidak ada sebab Kuala Lumpur tidak boleh mengamalkan perkara yang sama,” katanya.

Mengulas aspek kewangan, Luqman berkata Kuala Lumpur menerima peruntukan belanjawan sebanyak RM2.8 bilion pada tahun lalu, justeru wajar rakyat mempunyai suara terhadap individu yang bertanggungjawab menguruskan dana tersebut.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar akan menjejaskan kedudukan kaum atau kedaulatan tertentu, sambil menyifatkan naratif sedemikian sebagai tidak berasas dan berunsur perkauman.

“Menyerahkan kuasa memilih Datuk Bandar kepada warga kota adalah soal demokrasi dan tadbir urus yang baik, bukan isu kaum,” katanya.

Luqman berkata, pilihan raya Datuk Bandar juga akan mewujudkan mekanisme kebertanggungjawaban, membolehkan rakyat mengekalkan pemimpin yang berprestasi baik atau menyingkirkan mereka yang gagal melaksanakan tugas dengan berkesan. – Suara Timur

Tinggalkan komen