KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan murid tidak diwajibkan memakai tali leher ke sekolah mulai tahun hadapan.
Pemakluman itu terkandung dalam surat siaran bertarikh 17 Disember lalu.
Keputusan dicapai hasil Mesyuarat Profesional KPM Khas 2025 yang berlangsung pada 8 Disember lalu.
Surat berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.
Bagaimanapun, KPM menetapkan pemakaian tali leher masih dibenarkan berdasarkan keputusan permuafakatan pihak sekolah dengan ibu bapa.
Sehubungan itu, KPM menegaskan bahawa tiada pihak dibenarkan membuat sebarang paksaan atau tekanan terhadap murid berkaitan pemakaian tali leher ini.
“KPM sentiasa prihatin akan keperluan bagi ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing sebelum bermula sesi persekolahan baharu.
“Bagi memudahkan ibu bapa dalam memenuhi keperluan tersebut, dasar ini diputuskan hasil penelitian terhadap keperluan semasa murid berdasarkan faktor seperti yang berikut.
“Realiti iklim tempatan yang panas dan lembap menyebabkan pemakaian tali leher setiap hari kurang sesuai dan menjejaskan keselesaan murid dan keprihatinan KPM dalam usaha menangani beban kewangan isi rumah,” menurut surat yang dimuatnaik di laman web KPM. – Berita Harian
