Home NegaraGuru berdepan detik cemas kereta dipandu rempuh tapir

Guru berdepan detik cemas kereta dipandu rempuh tapir

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang guru berdepan detik cemas selepas kereta yang dipandunya merempuh seekor tapir jantan seberat kira-kira 300 kilogram di kilometer 8, Jalan Bandar Al-Mukhtafi Bilah Shah, Dungun menuju ke Bandar Paka dekat Kampung Santong, di sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam tadi ketika kejadian mangsa berumur 49 tahun dalam perjalanan pulang ke ke rumahnya di Bandar Kerteh, Kemaman.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Volkswagen dipandu mangsa dipercayai tidak sempat mengelak haiwan berkenaan yang sedang melintas jalan menuju hutan berhampiran.

KEADAAN tapir yang mati selepas dilanggar sebuah kereta di di kilometer 8, Jalan Bandar Al-Mukhtafi Bilah Shah, Dungun menuju ke Bandar Paka dekat Kampung Santong, Dungun, malam tadi.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Akibat rempuhan itu, tapir berkenaan mati  selepas tercampak sejauh beberapa meter manakala kereta mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bangkai tapir berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Pada 24 Januari lalu seekor tapir seberat 200 kilogram mati dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 320.5 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Kerteh, Kemaman pada 1 pagi.

Dalam kemalangan itu penunggang motosikal berusia 19 tahun turut maut di tempat kejadian.

banner

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu. – Suara Timur

Tinggalkan komen