KUALA LUMPUR: Lima kes kematian direkodkan akibat kemalangan membabitkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 sepanjang program berkenaan dianjurkan bermula Jumaat hingga Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku sejak Jumaat lalu sebelum acara berkenaan bermula dan membabitkan peserta dari pelbagai negeri.
“Setakat ini kita terima laporan lima kes kematian akibat kemalangan maut ketika dalam perjalanan pergi dan balik himpunan RXZ pada tahun ini.
“Kerjasama daripada JSPT akan terus dipertingkatkan lagi, terutamanya untuk memudahkan dan membantu mereka (peserta RXZ 7.0).
“Perkara ini termasuk menguatkuasakan peraturan-peraturan dan undang-undang sekiranya terdapat peserta yang melakukan kesalahan seperti menunggang dengan aksi berbahaya atau mengganggu pengguna jalan raya lain,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang telah menunjukkan sikap positif selain memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.
“Ini khususnya kepada JSPT, dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan juga keselamatan yang ditetapkan sepanjang kehadiran mereka untuk hadir dalam program RXZ 7.0 di Terengganu, pergi dan balik,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan empat kes kematian direkodkan akibat kemalangan membabitkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 yang dalam perjalanan ke acara berkenaan.
Program RXZ 7.0 yang dianjurkan di Gong Badak, Kuala Nerus hujung minggu lalu menghimpunkan ribuan pemilik serta peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.
Acara tahunan itu turut menampilkan pelbagai aktiviti komuniti dan pameran berkaitan dunia permotoran. – Harian Metro